4.0 Perbincangan




4.0       PERBINCANGAN
Penggunaan DNA Replication Interactive Kit sebagai alat bantuan pengajaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah berkesan untuk meningkatkan kefahaman konsep pelajar tentang proses replikasi DNA, memandangkan markah Ujian Pasca mereka telah agak jauh meningkat berbanding markah Ujian Pra.  Dari perubahan tingkahlaku pelajar yang diperhatikan pensyarah sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung, kesimpulan dibuat bahawa majoriti daripada pelajar adalah jenis visual learners, yang memiliki gaya pembelajaran secara visual dan kontekstual.  Mereka dengan mudah menguasai sesuatu kandungan pelajaran apabila melihat bagaimana sesuatu proses berlaku dan juga terlibat sama dalam aktiviti menjelaskan proses dengan bantuan model yang boleh disentuh dan digerakkan.  
Menurut Gardner (1993), setiap pelajar mempunyai keupayaan membuat pentakulan tentang sesuatu kandungan pelajaran yang pelbagai.  Antaranya ialah spatial intelligence atau kecerdasan visual dan kontekstual.  Dengan itu penggunaan model DNA Replication Interactive Kit yang boleh  dipaparkan dalam bentuk visual pada whiteboard dan digerakkan dengan mudah telah membantu pelajar menjelaskan atau menghurai mekanisma replikasi DNA berasaskan semi-conservative DNA replication model oleh Meselson dan Stahl (dalam Campbell et. al., 2018).
Penggunaan DNA Replication Interactive Kit juga telah berupaya menjadikan penggunaan whiteboard yang disediakan di bilik tutoran secara biasa oleh pensyarah (iaitu dengan menggunakan kaedah “chalk and talk”) kepada interactive whiteboard yang lebih menarik perhatian pelajar.  Mengikut Türel dan Johnson (2012), menukarkan penggunaan  whiteboard  secara biasa kepada interactive whiteboard telah berjaya menukarkan gaya pembelajaran pelajar.  Pelajar yang biasanya pasif boleh bertukar menjadi aktif dan berkolaboratif. Mereka menjadi lebih bermotivasi dan mudah menguasai sesuatu konsep pembelajaran yang sukar hendak disampaikan secara biasa oleh guru.
Pelajar juga diperhatikan lebih seronok mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran apabila pensyarah menggunakan model DNA Replication Interactive Kit.  Pelajar-pelajar adalah aktif dalam perbincangan dengan rakan  dan berupaya membuat  pembentangan dengan baik.   Situasi   ini  dilihat  selari dengan  dapatan  kajian Mohd Amir et al., (2007).  Beliau mendapati bahawa kaedah pembelajaran yang ceria dan menyeronokkan dapat membantu pelajar untuk lebih cepat menguasai kandungan pelajaran yang dianggap sukar.  Keputusan kajian ini juga ada perkaitan dengan keputusan kajian yang telah dijalankan oleh Noor Zurina et al., (2007).   Berdasarkan kajian beliau, pelajar yang diajar  menggunakan  rajah dan  model telah mencapai markah yang lebih tinggi dalam Ujian Pasca berbanding pelajar yang diajar dengan tidak menggunakan rajah atau model.  
Sekiranya seorang guru atau pendidik itu mahukan pelajar-pelajarnya menguasai konsep sesuatu ilmu yang disampaikan, ia perlulah bersikap pisitif untuk menggunakan pelbagai kemahiran serta teknik instruksional dalam menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran yang dikendalikannya, lantaran pelbagai teknik itu boleh didapati dari pelbagai rujukan.

Comments